Showing posts with label Aktiviti. Show all posts
Showing posts with label Aktiviti. Show all posts

Tuesday, 20 May 2014

AKTIVITI PENDIDIKAN KERJAYA

Unit Bimbingan dan Kaunseling dengan kerjasama Kelab Kerjaya akan mengadakan satu pertandingan mewarna dan melukis poster. Pertandingan tersebut akan diadakan pada 22 Mei 2014 (Khamis). Murid-murid Tahap 1 dan Tahap 2 akan terlibat secara langsung di dalam pertandingan ini.

Pertandingan mewarna dikhususkan kepada murid-murid Tahap 1 yang akan bermula dari jam 7.40 pagi sehingga 9.10 pagi di dalam kelas masing-masing. Kertas pertandingan akan diedarkan oleh guru-guru yang berada di dalam kelas tersebut.

Manakala bagi pertandingan melukis poster pula, pertandingan dibuka kepada murid-murid Tahap 2 yang akan bermula dari jam 11.00 pagi sehingga 1.00 tengah hari. Tajuk poster tersebut adalah "Sains dan Teknologi Asas Keutuhan Ekonomi Negara". Murid-murid dipohon untuk membawa kertas lukisan dan peralatan melukis masing-masing. 

Setelah selesai setiap pertandingan, kertas lukisan yang telah siap akan diserahkan kepada guru kelas masing-masing untuk penilaian. Tiga lukisan terbaik akan dinobatkan sebagai juara. Nama-nama pemenang mesti diserahkan kepada guru bimbingan untuk tindakan susulan.

Monday, 10 March 2014

PROGRAM MENTOR MENTEE

Mentor Mentee merupakan salah satu program yang dirancang bagi meningkatkan prestasi akademik murid-murid terutama bagi murid yang tidak dapat menguasai mata pelajaran yang tertentu. Program ini disusun dengan harapan bahawa budaya bimbingan pelajar secara terus dapat dijalankan dalam kumpulan yang kecil bagi memastikan keberkesanan bimbingan tersebut terhadap murid.

Objektif Program Mentor Mentee adalah seperti berikut :
  1. Meningkatkan pencapaian murid dari segi akademik dengan cara memberi bimbingan kepada murid mengikut mata pelajaran yang tidak dapat dikuasai dengan baik.
  2. Memberi kesedaran dan motivasi kepada murid tentang kepentingan belajar untuk mencapai kecemerlangan dalam UPSR 2014.
  3. Meningkatkan kemahiran berinteraksi dengan guru-guru dan rakan-rakan dalam mendapatkan ilmu. 
Program Mentor Mentee diwujudkan untuk mencapai matlamat berikut :
  1. Meningkatkan pencapaian akademik bagi murid Tahun 6 terpilih mengikut mata pelajaran.
  2. Meningkatkan peratus pelajar lulus dalam UPSR 2014.
  3. Membina hubungan yang mesra di antara mentor dan mentee.

Guru Besar merasmikan Program Mentor Mentee


Penyerahan Watikah Pelantikan Sebagai Mentor



Pengenalan Mentor dan Mentee

Sunday, 16 February 2014

PERASMIAN PROGRAM GURU PENYAYANG 2014


Majlis Perasmian Program Guru Penyayang 2014 adalah program tahunan Unit Bimbingan & Kaunseling. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Pn. Hjh. Rabiyah bt. Fakir Mohd., Guru Besar SKS2BK. Gimik perasmian pada tahun ini begitu meriah dengan pelepasan belon-belon dari udara oleh Guru Besar. Selain daripada itu, murid-murid yang lahir pada bulan Februari diraikan dengan pemotongan kek.


Pelaksanaan Guru Penyayang adalah bertujuan agar guru mengenal dan membudayakan sikap kasih sayang di sekolah. Objektif kepada program ini adalah menjiwai amalan penyayang adalah budaya guru, menginsafi bahawa kehadiran murid merupakan rahmat kepada sekolah, menyedari bahawa setiap murid adalah aset kepada sekolah dan menghargai sumbangan murid, ibu bapa, komuniti dan masyarakat kepada sekolah.


Pelbagai aktiviti yang telah dirancang oleh Unit Bimbingan & Kaunseling antaranya sesi ramah mesra, sesi makan bersama, meraikan hari lahir, bimbingan hala tuju hidup, lawatan/ziarah keluarga dan sesi perkongsian masalah.


Aktiviti-aktiviti yang sedang dilakukan oleh guru-guru adalah mengalu-alukan kehadiran murid ke sekolah dengan mengalu-alukan murid di pintu pagar sekolah dan mengambil berat terhadap murid semasa di sekolah. Selain daripada itu, guru juga menjalankan aktiviti mentor mentee di mana beberapa orang murid diletakkan di bawah seliaan seorang guru. Guru-guru tersebut akan membimbing murid pada setiap kali perjumpaan yang diadakan sekurang-kurangnya dua kali setahun.

Thursday, 9 January 2014

PROGRAM MAJU DIRI 2014

Selamat kembali ke sekolah kepada semua warga SKS2BK daripada percutian yang panjang. Sesi persekolahan telah dimulakan pada 2 Januari 2014 yang lalu. Dengan semangat yang jitu sudah tentu menjadi motivasi buat semua murid untuk menimba ilmu pengetahuan yang baharu. 

Sebelum kita pergi lebih jauh lagi, Unit Bimbingan & Kaunseling di bawah bimbingan Pn. Azean bt. Othman akan menjalankan Program Maju Diri (PMD). Program ini akan dijalankan pada minggu kedua sesi persekolahan 2014. Bermula pada 8, 9 dan 10 Januari 2014, murid-murid Tahap 2 yang terdiri daripada murid-murid Tahun 4, 5 dan 6 akan terlibat secara langsung dengan semua aktiviti yang dirancangkan.

Program Maju Diri dijalankan bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada murid tentang potensi diri di samping menunjukkan teknik-teknik belajar yang efektif dan beberapa aktiviti motivasi diri sebelum proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah dimulakan. Pada akhir program ini, murid-murid diminta membuat rumusan untuk tujuan penambahbaikan di masa akan datang.  

"SELAMAT MAJU JAYA"

Wednesday, 6 November 2013

TENTATIF SAMBUTAN HARI KANAK-KANAK DAN JAMUAN AKHIR TAHUN 2013

Berikut adalah tentatif sambutan Hari Kanak-kanak dan Jamuan Akhir Tahun 2013.

MASA
AKTIVITI

7.40 pagi – 9.00 pagi
  • Bacaan doa
  • Ucapan Guru Besar
  • Ucapan wakil murid


8.00 pagi – 10.00 pagi
  • Persembahan pembukaan dari murid prasekolah
  • Persembahan peserta mengikut giliran
  • Persembahan khas
  • Penyampaian hadiah

10.00 pagi – 11.30 pagi
  • Jamuan akhir tahun di dalam kelas

11.30 pagi – 12.00 tengah hari
  • Gotong-royong membersihkan kelas

12.00 tengah hari
  • Bersurai


Persembahan oleh para peserta persembahan perlu mengikut giliran yang telah ditetapkan. Giliran tersebut adalah seperti berikut : -

GILIRAN
PESERTA
PERSEMBAHAN
1
Tahun 4
Lakonan
2
Tahun 1
Bercerita
3
Tahun 2
Pakaian Beragam
4
Tahun 3
Nyanyian
5
Tahun 4
Tarian
6
Tahun 5
Syair/Sajak

Sunday, 27 October 2013

KEM RIMUP 1MALAYSIA PERINGKAT PETALING PERDANA 2013


Unit Bimbingan & Kaunseling SKS2BK telah diberi kepercayaan untuk menguruskan Kem RIMUP 2013. Kem ini dianjurkan oleh PPD Petaling Perdana untuk memupuk kerjasama di antara pelbagai kaum di peringkat sekolah rendah lagi. Kem ini telah diadakan pada 26 & 27 Oktober 2013 di SK Seksyen 2 Bandar Kinrara. Antara sekolah yang terlibat adalah seperti berikut : -
  1. SK SEKSYEN 2 BANDAR KINRARA
  2. SK BUKIT KUCHAI
  3. SK SRI SERDANG
  4. SK SERDANG
  5. SJK(T) KINRARA
  6. SJK(T) FES SERDANG
  7. SJK(C) YAK CHEE
  8. SJK(C) SERDANG BARU (1)
Ribuan terima kasih diucapkan kepada semua guru SKS2BK, guru-guru fasilitator dan guru-guru pengiring yang telah mengorbankan masa dan tenaga dalam menjayakan kem ini. Kami berharap kem seperti ini dapat diteruskan dan ditambah nilai agar dapat dijalankan di luar kawasan sekolah supaya lebih menarik dan kondusif.

Thursday, 24 October 2013

INDAHNYA ALAM REMAJA

Alam remaja adalah alam di mana remaja cuba untuk mengenali diri masing-masing. Mereka akan meneroka perkara yang baharu dalam hidup mereka. Justeru itu, mereka memerlukan panduan dan bimbingan daripada mereka yang berpengalaman untuk menerangkan perkara-perkara yang baharu bagi diri mereka agar tidak mendapat maklumat yang salah daripada orang yang tidak bertanggungjawab.

Unit Bimbingan & Kaunseling akan mengadakan program Indahnya Alam Remaja untuk murid-murid Tahun 6 sebagai pendedahan awal kepada mereka tentang perkembangan biologi mereka. Program ini akan dijalankan melalui ceramah yang akan disampaikan oleh seorang doktor dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Butiran program aadalah seperti berikut : -

Tarikh : 31 Oktober 2013 (Khamis)
Masa : 8.30 pagi - 10.30 pagi
Tempat : Surau SKS2BK
Penceramah : Doktor HUKM

LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE KIDZANIA


Unit Bimbingan & Kaunseling akan mengadakan lawatan sambil belajar ke KidZania Kuala Lumpur pada ketetapan berikut : -

Tarikh : 26 Oktober 2013 (Sabtu)
Masa : 8.30 pagi - 4.30 petang
Sasaran : Murid-murid Tahap 2

Tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk memberikan pendedahan kepada dunia pekerjaan yang terdapat di luar sana. Selain daripada itu, murid akan mendapat motivasi untuk mengejar cita-cita yang mereka inginkan. 

Semoga dengan adanya lawatan seperti ini dapat memberi manfaat yang berguna untuk diri mereka di masa hadapan.  

Tuesday, 22 October 2013

MELANGKAH KE SEKOLAH MENENGAH 2014

Sekolah Menengah adalah sebuah tempat yang baharu bagi murid-murid sekolah rendah. Oleh yang demikian, mereka perlu diberi pendedahan awal berkaitan suasana di sekolah menengah. Ini dapat membantu murid-murid Tahun 6 khususnya bagi membuat persediaan secara mental dan fizikal sebelum melangkah ke alam sekolah menengah.

Justeru itu, Unit Bimbingan & Kaunseling mengambil inisiatif untuk menganjurkan sebuah program yang dinamakan sebagai Program Melangkah ke Sekolah Menengah untuk murid-murid Tahun 6. Butiran program ini adalah seperti berikut : -

Tarikh : 23 Oktober 2013 (Khamis)
Masa : 8.30 pagi - 10.30 pagi
Sasaran : Murid-murid Tahun 6
Penceramah : Guru Disiplin SMK Puchong Jaya (A)

Maka, ambillah peluang keemasan ini untuk mendapat sebanyak mungkin maklumat berkaitan sebelum anda semua melangkah ke alam sekolah menengah. Semoga dengan input yang diberikan oleh penceramah akan memberi manfaat yang berguna di masa hadapan.