Tuesday, 20 May 2014

AKTIVITI PENDIDIKAN KERJAYA

Unit Bimbingan dan Kaunseling dengan kerjasama Kelab Kerjaya akan mengadakan satu pertandingan mewarna dan melukis poster. Pertandingan tersebut akan diadakan pada 22 Mei 2014 (Khamis). Murid-murid Tahap 1 dan Tahap 2 akan terlibat secara langsung di dalam pertandingan ini.

Pertandingan mewarna dikhususkan kepada murid-murid Tahap 1 yang akan bermula dari jam 7.40 pagi sehingga 9.10 pagi di dalam kelas masing-masing. Kertas pertandingan akan diedarkan oleh guru-guru yang berada di dalam kelas tersebut.

Manakala bagi pertandingan melukis poster pula, pertandingan dibuka kepada murid-murid Tahap 2 yang akan bermula dari jam 11.00 pagi sehingga 1.00 tengah hari. Tajuk poster tersebut adalah "Sains dan Teknologi Asas Keutuhan Ekonomi Negara". Murid-murid dipohon untuk membawa kertas lukisan dan peralatan melukis masing-masing. 

Setelah selesai setiap pertandingan, kertas lukisan yang telah siap akan diserahkan kepada guru kelas masing-masing untuk penilaian. Tiga lukisan terbaik akan dinobatkan sebagai juara. Nama-nama pemenang mesti diserahkan kepada guru bimbingan untuk tindakan susulan.

Friday, 14 March 2014

KEM KEPIMPINAN MURID 2014

Kem Kepimpinan Murid SKS2BK 2014 telah dijalankan pada 15/3/2014 (Sabtu). Tujuan kem ini diadakan adalah untuk membimbing pemimpin sekolah dalam kalangan murid dalam menggarap bakat kepimpinan mereka di dalam alam persekolahan yang sebenar. 


Kem ini dianjurkan oleh Unit Disiplin dan Unit Bimbingan & Kaunseling. Mereka yang terlinat di dalam kem ini adalah terdiri daripada pengawas sekolah, ketua dan penolong ketua darjah. Fasilitator luar telah diundang untuk mengendalikan kem tersebut. 



Beliau adalah Kaunselor dari PPD Petaling Perdana iaitu Pn. Faizah.  

Monday, 10 March 2014

PROGRAM MENTOR MENTEE

Mentor Mentee merupakan salah satu program yang dirancang bagi meningkatkan prestasi akademik murid-murid terutama bagi murid yang tidak dapat menguasai mata pelajaran yang tertentu. Program ini disusun dengan harapan bahawa budaya bimbingan pelajar secara terus dapat dijalankan dalam kumpulan yang kecil bagi memastikan keberkesanan bimbingan tersebut terhadap murid.

Objektif Program Mentor Mentee adalah seperti berikut :
  1. Meningkatkan pencapaian murid dari segi akademik dengan cara memberi bimbingan kepada murid mengikut mata pelajaran yang tidak dapat dikuasai dengan baik.
  2. Memberi kesedaran dan motivasi kepada murid tentang kepentingan belajar untuk mencapai kecemerlangan dalam UPSR 2014.
  3. Meningkatkan kemahiran berinteraksi dengan guru-guru dan rakan-rakan dalam mendapatkan ilmu. 
Program Mentor Mentee diwujudkan untuk mencapai matlamat berikut :
  1. Meningkatkan pencapaian akademik bagi murid Tahun 6 terpilih mengikut mata pelajaran.
  2. Meningkatkan peratus pelajar lulus dalam UPSR 2014.
  3. Membina hubungan yang mesra di antara mentor dan mentee.

Guru Besar merasmikan Program Mentor Mentee


Penyerahan Watikah Pelantikan Sebagai Mentor



Pengenalan Mentor dan Mentee

Sunday, 16 February 2014

PERASMIAN PROGRAM GURU PENYAYANG 2014


Majlis Perasmian Program Guru Penyayang 2014 adalah program tahunan Unit Bimbingan & Kaunseling. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Pn. Hjh. Rabiyah bt. Fakir Mohd., Guru Besar SKS2BK. Gimik perasmian pada tahun ini begitu meriah dengan pelepasan belon-belon dari udara oleh Guru Besar. Selain daripada itu, murid-murid yang lahir pada bulan Februari diraikan dengan pemotongan kek.


Pelaksanaan Guru Penyayang adalah bertujuan agar guru mengenal dan membudayakan sikap kasih sayang di sekolah. Objektif kepada program ini adalah menjiwai amalan penyayang adalah budaya guru, menginsafi bahawa kehadiran murid merupakan rahmat kepada sekolah, menyedari bahawa setiap murid adalah aset kepada sekolah dan menghargai sumbangan murid, ibu bapa, komuniti dan masyarakat kepada sekolah.


Pelbagai aktiviti yang telah dirancang oleh Unit Bimbingan & Kaunseling antaranya sesi ramah mesra, sesi makan bersama, meraikan hari lahir, bimbingan hala tuju hidup, lawatan/ziarah keluarga dan sesi perkongsian masalah.


Aktiviti-aktiviti yang sedang dilakukan oleh guru-guru adalah mengalu-alukan kehadiran murid ke sekolah dengan mengalu-alukan murid di pintu pagar sekolah dan mengambil berat terhadap murid semasa di sekolah. Selain daripada itu, guru juga menjalankan aktiviti mentor mentee di mana beberapa orang murid diletakkan di bawah seliaan seorang guru. Guru-guru tersebut akan membimbing murid pada setiap kali perjumpaan yang diadakan sekurang-kurangnya dua kali setahun.

Thursday, 9 January 2014

PROGRAM MAJU DIRI 2014

Selamat kembali ke sekolah kepada semua warga SKS2BK daripada percutian yang panjang. Sesi persekolahan telah dimulakan pada 2 Januari 2014 yang lalu. Dengan semangat yang jitu sudah tentu menjadi motivasi buat semua murid untuk menimba ilmu pengetahuan yang baharu. 

Sebelum kita pergi lebih jauh lagi, Unit Bimbingan & Kaunseling di bawah bimbingan Pn. Azean bt. Othman akan menjalankan Program Maju Diri (PMD). Program ini akan dijalankan pada minggu kedua sesi persekolahan 2014. Bermula pada 8, 9 dan 10 Januari 2014, murid-murid Tahap 2 yang terdiri daripada murid-murid Tahun 4, 5 dan 6 akan terlibat secara langsung dengan semua aktiviti yang dirancangkan.

Program Maju Diri dijalankan bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada murid tentang potensi diri di samping menunjukkan teknik-teknik belajar yang efektif dan beberapa aktiviti motivasi diri sebelum proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah dimulakan. Pada akhir program ini, murid-murid diminta membuat rumusan untuk tujuan penambahbaikan di masa akan datang.  

"SELAMAT MAJU JAYA"